Monday, March 30, 2009

Nizar Main Tipu Lagi

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang menjadi bukti hitam putih dokumen calon PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang diterima dan disahkan bagi melayakkannya bertanding tertera pekerjaan semasa beliau kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang bukannya Menteri Besar Perak.

Sama ada sedar atau tidak, borang pencalonan tersebut yang diisi berdasarkan peruntukan undang-undang dan satu pernyataan rasmi oleh sesorang calon boleh disifatkan sebagai pengakuan Nizar sendiri bahawa pekerajaannya kini hanya seorang ADUN dan bukannya Menteri Besar seperti yang dipertahankannya.

Malah apabila ditanya oleh wartawan mengenai perkara itu, Nizar memberikan reaksi ringkas “itu semua sejarah”. Adakah ia bermaksud jawatan Menteri Besar telah menjadi sejarah .

Namun, beliau masih cuba untuk bermain dengan kata-kata apabila diajukan soalan berkenaan dengan berakta, beliau masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Persoalannya kenapa pekerajaan Menteri Besar itu tidak dicatat dalam borang pencalonan.


Dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang, Nizar akan berentap dengan calon BN, Ismail Safian dan calon bebas Kamarul Ramizu.

Ismail 49, adalah seorang anak tempatan yang berasal dari Kampung Kubu.Beliau adalah bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang.

Kamarul Ramizu, 42, pula merupakan seorang usahawan.

Kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar, termasuk 136 pengundi pos dengan pecahan 63.5 peratus pengundi Melayu, Cina (27.1 peratus), India (9.1 peratus) manakala yang lain (0.2 peratus)

Sunday, March 1, 2009

Karpal Cuba Alih Isu: Akuilah Kedaulatan Raja-Raja Melayu

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Mukhriz Tun Mahathir mengecam sekeras-kerasnya keceluparan Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Karpal Singh menggunakan kata-kata kesat terhadap Pergerakan Pemuda UMNO di Parlimen kelmarin.

Beliau bukan sahaja telah melanggar peruntukkan 36 (4) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan kata-kata kesat digunakan sewaktu perbahasan di dalam Dewan, malah ianya berunsur fitnah dan pembohongan apabila menuduh Pergerakan Pemuda UMNO sebagai membuat ancaman jenayah dengan menghantar dua butir peluru kepadanya.

Melanggari peruntukkan 36 (4) tersebut, YB Karpal Singh telah dengan sengaja cuba mengalih perhatian rakyat terhadap penderhakaan beliau kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Maka saya dengan tegasnya mendesak Pengerusi Kebangsaan DAP itu untuk mengakui Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menyanjung Sistem Raja Berpelembagaan. Kegagalan berbuat demikian membuktikan bahawa YB Karpal Singh mengkhianati Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, saya menggesa pihak berkuasa agar segera menahan dan mendakwa YB Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948 jika beliau terus enggan berganjak daripada sikap penderhakaan ini.

“Pada masa yang sama, saya ingin berpesan kepada YB Karpal Singh agar jangan terlalu besar kepala sehingga tidak menghormati Raja-Raja Melayu kita. Kenyataannya bahawa "Singh is King" menunjukkan bahawa beliau sudah terlalu takbur sehingga menganggap dirinya seorang Raja mengatasi kedaulatan Raja-Raja Melayu yang sudah bertakhta sejak turun temurun.

Bak kata pepatah Melayu, “Telajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa;, keceluparan beliau adalah provokasi yang tidak diundang. YB Karpal Singh nyata tidak langsung menghormati mahupun mengendahkan tatasusila mesyuarat dan kesopanan Dewan Rakyat. Meskipun akhirnya YB Karpal Singh menarik balik kenyataan yang telah dibuat, saya menggesa beliau digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang dianggap wajar sebagai sempadan yang mesti diawasi oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat,” ujarnya dalam kenyataan medianya melalui laman webnya di http://www.mukhriz.com/

Semak daftar pemilih Parlimen Bukit Gantang

Orang ramai boleh membuat semakan daftar pemilih dan tempat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Kerusi Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan pada 7 April ini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya negeri, Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan berkata, orang ramai boleh berbuat demikian di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari bekerja mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

''Bagaimanapun, waktu semakan berkenaan akan dilanjutkan sehingga pukul 10 malam pada 29 Mac hingga 7 April," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Che Wan Muhammed Salleh berkata, orang ramai juga boleh membuat semakan dengan menghubungi talian terus di nombor 05-2547189 atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Jelas beliau, SMS boleh dihantar ke 15888 dengan menaip 'SPR nombor kad pengenalan'.

Katanya, selain itu semakan juga boleh dibuat dengan melayari laman web SPR di alamat web www.spr.gov.my.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada Pas, pada 9 Februari lalu akibat serangan jantung.