Friday, February 27, 2009

Pemilih di Bukit Gantang, Bukit Selambau boleh semak maklumat pengundian

Pengundi di dua kawasan pilihan raya kecil yang bakal diadakan serentak 7 April ini iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah, boleh mula menyemak maklumat pengundian mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata maklumat yang boleh disemak termasuk nama pusat mengundi dan nombor saluran mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui tiga cara, iaitu melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my, melalui SMS dan di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan di Kedah, katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Bagi perkhidmatan SMS, Ngah berkata perkhidmatan itu mula beroperasi mulai Rabu lalu sehingga 7 April nanti, dan caj sebanyak 35 sen dikenakan untuk setiap SMS yang dihantar.

Untuk menghantar SMS, pemilih berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya tersebut hanya perlu menaip, SPR jarak SEMAK jarak NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Bagi semakan dengan Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri, pemilih di Bukit Gantang boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak di talian 05-2547189 manakala pengundi di Bukit Selambau boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah di talian 04-7001313 atau 04-7001303.

Semakan itu boleh dibuat setiap hari dari 1 Mac hingga 7 April ini.

Pada 13 Feb lepas, SPR menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak, iaitu penamaan calon masing-masing pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan - Bernama

Saturday, February 21, 2009

Fikiran Uncle Nik Aziz kini bercelaru.

PAS merayu Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong supaya tidak meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan kerana jika pilihan raya kecil diadakan di kawasan tersebut, ia akan menyusahkan rakyat. Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekiranya diadakan pilihan raya kecil ia juga melibatkan kos yang tinggi dan menyebabkan pembaziran berlaku.

Aku sokong kenyataan Nik Aziz tu, memang PRK akan melibatkan kos yang tinggi dan pembaziran pasti berlaku. Itu baru setakat PRK satu DUN, bagaimana pula kalau dibubarkan DUN satu-satu negeri tu disebabkan ingin mempertahankan kuasa satu-satu parti yang hilang kuasa.

Adakah ini bukan satu pembaziran dan melibatkan kos yang lebih tinggi berbanding kos PRK satu DUN. Sehubungan dengan itu, Nik Aziz perlulah lebih rasional, untuk anak-anak buahnya di Perak untuk tidak menyalak minta Sultan membubarkan DUN, kerana ia akan lebih melibatkan kos yang tinggi.

Betul tak Tuan Guru?

Begitu juga dengan kenyataan Tok Guru, PAS tidak perlu bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil. Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Adakah cabaran minta Ibrahim Ali letak jawatan ini akan membuka kepada satu lagi pilihan raya kecil yang pasti akan melibatkan kos tinggi dan pembaziran?

Apakah sandiwara yang cuba dimainkan Nik Aziz nie. Tak sampai hati kalau aku kata Nik Aziz dah nyanyuk, tapi memadailah kalau aku katakan bahawa fikiran Nik Aziz sekarang dah semakin bercelaru.

Friday, February 20, 2009

Bukit Gantang anak angkat UMNO negeri

Semua UMNO negeri akan menjadi 'bapa angkat' kepada seluruh cawangan parti itu di kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Sehubungan itu, kata beliau, semua negeri telah dimaklumkan mengenai cawangan-cawangan yang akan menjadi 'anak angkat' mereka.

''Negeri-negeri berkenaan akan diagih-agihkan mengikut DUN dalam kawasan Parlimen berkenaan dan surat telah dihantar kepada UMNO negeri hari ini," katanya.

Thursday, February 19, 2009

Pemuda UMNO bersatu dalam hadapi pilihan raya kecil

Pemuda UMNO akan kekal bersatu untuk menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Selambau di Kedah pada April ini walaupun pergerakan itu akan mengadakan pemilihan pada akhir Mac ini.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun akan menghadapi pemilihan parti, kepentingan dan keutamaan akan diberikan kepada prestasi parti dalam dua pilihan raya itu, ditetapkan pada 7 April. Penamaan calon pada 29 Mac.

“Tiada guna memegang jawatan tinggi jika parti tidak dihormati oleh rakyat.

Jadi, kami (Pemuda UMNO) akan bergerak sebagai satu untuk memastikan parti diterima oleh semua,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat UMNO di sini hari ini.

Ditanya sama ada pertembungan tarikh bagi pemilihan parti dan pilihan raya kecil itu mungkin menjejaskan keupayaan UMNO, Hishammuddin berkata: “Kami mempunyai persefahaman sendiri.

“Berkempen adalah perkara biasa dalam keluarga kami. Dalam UMNO, orang boleh kata apa sahaja tetapi kami tiada masalah dalam memberikan komitmen kami kepada parti dan akan kekal bersatu.

Tuesday, February 10, 2009

TETAP SAMAN SULTAN PERAK – KARPAL SINGH

Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini tetap mempertahankan pendiriannya untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dengan alasan tindakannya itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Malah katanya, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya tindakannya itu tidak mengikut lunas undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya, Karpal menegaskan, beliau juga tidak akan memohon maaf kerana menganggap rancangannya untuk menyaman Sultan Azlan Shah bukan berupa penghinaan atau mencabar kedaulatan sultan.

Selepas tahun 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan satu mahkamah khas ditubuhkan di mana secara jelas menyatakan raja- raja dan sultan boleh dibawa ke mahkamah. Perlembagaan Persekutuan yang dipinda itu telah memperuntukkan sedemikian.

Bagaimanapun Karpal tidak menyebut bila beliau akan mengemukakan saman itu.

Jumaat lalu, Karpal pada sidang akhbar di Pulau Pinang menyatakan pakatan pembangkang bercadang memfailkan kes mahkamah ke atas Sultan Perak kerana menitahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Ekoran itu, pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil membuat laporan polis terhadap Karpal di seluruh negara.

Sehingga semalam, sebanyak 56 laporan polis dibuat terhadap Karpal berhubung kenyataannya itu yang disifatkan sebagai biadap dan menderhaka.

Tambah peguam itu, beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya di Pulau Pinang tempoh hari kerana apa yang diperkatakan adalah benar.

“Saya bukan pengecut dan jangan ugut saya tentang apa yang telah dikatakan di Pulau Pinang tempoh hari,” tegasnya.

Ditanya mengenai siasatan polis mengikut Akta Hasutan terhadapnya, Karpal menjelaskan, beliau tidak gentar dengan segala laporan polis yang dibuat ke atasnya.

Tambahnya, beliau bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis yang ingin mengambil keterangannya bagi membantu siasatan kes tersebut. Bagaimanapun kata Karpal, segala laporan polis ke atasnya adalah palsu dan tidak berasas sama sekali. Karpal Singh tidak akan menarik balik kenyataannya di Pulau Pinang tempoh hari kerana apa yang diperkatakan adalah benar.

Beliau sedia didakwa di mahkamah jika tindakannya itu tidak mengikut undang-undang. Pengerusi Kebangsaan DAP itu tidak akan mohon maaf atas tindakannya. Karpal menegaskan beliau tidak gentar dengan segala laporan polis ke atasnya.

‘‘Saya bukan pengecut dan jangan ugut saya tentang apa yang telah dikatakan,” tegasnya.

Monday, February 9, 2009

Nizar patut bertanding di Bukit Gantang - DAP

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

"Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada PAS untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami," katanya di sini hari ini.

Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lepas oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian anggota Parlimen kawasan itu Roslan Shaharum, 50, daripada PAS hari ini akibat sakit jantung. BERNAMA

Bicara Perjuangan Di Bukit Gantang


Assalammualaikum.

tahziah buat keluarga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum dari PAS - dipercayai meninggal dunia ketika sedang mengayuh basikal pagi tadi.

Ia membuka laluan kepada pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa ketika dihubungi mStar Online mengesahkan Roslan meninggal dunia pagi ini.